Entry: Wanita Oh Wanita!! Friday, October 27, 2006



Hari ini bukanlah hari yang agak menggembirakan bagi aku. Tapi bila aku ingat balik apa yang aku alami sepanjang hari raya ni, banyak sekali rupanya ragam dunia yang Tuhan nak tunjuk kepada aku. Aku dulu minat sungguh bila dengar ustz nor bahyah cerita tentang keperibadian siti khatijah. Perempuan yang aku anggap sebagai paling agung. Dia siteri yang paling nabi cintai sampai Aishah sendiri cemburu. Dia bersama nabi masa nabi keseorangan. Dia begi semangat pada nabi masa nabi lemah. Dia hidup bersama nabi masa da'wah di Mekah. Zaman yang mana asas Islam baru sahaja hendak tumbuh. Tentangan penuh dari kanan dan kiri. Masa itu Khadijah lah yang menjadi tunjang di rumah penguat kepada da'wah. Dia lah contoh isteri yang paling ideal. Nabi hanya berkahwin selepas berhijrah ke Madinah. Masakan aku dapat mencari perempuan sehebat khadijah lagi di dunia ini. Tapi bila aku renung kembali ke belakang beberapa hari lalu, rupanya roh perempuan sekuat Khadijah masih lagi ada. Walaupun dalam kondisi yang berlainan, tapi aku rupanya masih lagi dikelilingi dua perempuan yang begitu tabah, cekal, kuat menghadapi hidup. Dua perempuan yang aku maksudkan itu ialah Mama dan Untie Berry (kak bariah la).

 

Kalau nak tulis fasal mama ni memang panjang. Sapa lah yang tak sayang mama sendiri. Tapi mama bagi aku sebenarnya teramat istimewa. Dan tak ada orang boleh tandingi. Mendengar kisah mama dari kecil sampai sekarang yang aku tengok sendiri sangat mengagumkan. Bukan aku nak puji dia pandai masak, jahit baju atau mengemas rumah. Benda-benda ini orang lain pun ada. Tapi dia ada lebih dari itu. Walaupun kadang-kadang aku ini orang anggap cerewet. Kalau boleh nak isteri macam sifat yang mama ada. Tapi itu macam mustahil. Cukuplah sifat penghayatan agama macam yang ada pada mama untuk calon isteri. Mama selalu cakap dia belajar agama tak tinggi sangat sebab itu lah dia suruh anak-anak dia belajar agama bagi pandai, baru boleh berjaya dunia akhirat. Tapi ini lah kehebatan mama. Bila dia ada sedikit ilmu, ilmu yang sedikit itulah dia amalkan dan terapkan kepada anak-anak dia. Bila aku tengok perempuan kat Univ aku, ilmu agama banyak tapi penghayatan agama langsung tak ada. Buat apa ilmu banyak kalau tak amal (terkena kat aku juga ni). Sifat agama yang ada pada mama itu cukuplah untuk bagi dia kekuatan untuk buat semua. Dari bangun tidur seawal 5 pagi sampailah balik sekolah, memasak, kemas rumah sampai malam balik. Semua tu pada aku hasil dari kesedaran terhadap tanggungjawab dan tanggungjawab tu adalah berteraskan penghayatan terhadap agama yang tinggi. Kadang-kadang mulut dok kata la penat, tapi kerja semua jalan juga walau penat macam mana pun. Tak pernah terfikir nak rehat selagi kerja tak beres walau macam mana penat pun. Nak cari perempuan macam ni sekarang, bukan mustahil tapi payah lah. Masa ambil kemahiran keibubapaan dulu, ustaz Kamil pernah kata,  kalau lah seorang anak itu  dari kecil dia nak sangat jadi macam parent dia masa dia besar nanti, maknanya didikan ibu bapa tu dah berjaya la. Macam tu lah yang aku rasa sekarang. Pengorbanan lain yang banyak lagi lain tapi tak payah cerita la. Panjang nanti jadinya.

 

Perempuan kedua pulak ialah untie berry. Kak bariah ini special sikit. Aku masukkan nama dia kat sini bila aku sembang dengan dia masa raya kedua hari tu. Dalam banyak-banyak cucu tok esah, kalau aku nak tunjuk yang mana paling baik, aku pasti akan tunjuk pada keluarga Abang Zambi dan kaka Bariah. Dia jaga tok dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab. Tok dok marah-marah dia pun, dia jaga jugak tok walau kata-kata tok macam sembilu mengguris kalbu. Sambil sikat rambut tok nak buat sanggul sambil menitik air mata. Dia pun ada mak sendiri jugak yang sakit. Tapi dia jaga tok macam mak sendiri walhal tok ni belah abang zamri bukan keturunan dia. Belanja duit nak bagi makan, beli pampest, ubat walhal yang aku tau gaji keluarga bukan banyak sangat. Nak jaga anak lagi yang dua orang masuk asrama. Tapi dia jaga tok lebih baik dari anak-anak dia jaga. Tok pula yang selalu dok marah dia tu suka pulak tinggal dengan dia. Asyik sebut nama anak-anak dia aja, kak long, kakcik, kak ngah. Setiap kali jalan keluar, mesti bawak tok sama-sama. Tok tak larat jalan, dia beli kerusi roda kat tok untuk naik. Pergi supermarket, lawat sekolah anak-anak, pergi makan luar. Bukan senang nak cari perempuan macam ni, keluarga macam ni. Anak-anak tok sendiri pon aku boleh cakap tak boleh jaga tok sebaik ini.

 

Buat mereka berdua, aku doakan semoga jasa  yang dicurahkan bakal dibalas Allah dengan sebaik-baik kurniaan di dunia dan akhirat. Tak ada kata-kata yang dapat aku lafazkan untuk menyimpulkan. Hanya doa dan harapan sahaja mengiringi tulisan ini semoga mereka berjaya di dunia dan akhirat. Oh Tuhan, engkau telah tunjukkan kepadaku 2 contoh perempuan yang hebat. Kurniakan lah kepada mereka sebaik-baik balasan kepada mereka di dunia dan akhirat atas jasa dan pengorbanan mereka yang terkadang apa yang mereka buat itu menyusahkan diri mereka sendiri sehingga menitis air mata, tapi mereka tetap buat juga atas tanggungawab. Bagi orang sehebat ini ya Allah engkau lah sebaik-baik pemberi balasan!!

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments